York Swirls

Tuesday, 22 January 2019

STAM?

Assalamualaikum, semua.

Tahniah buat pelajar-pelajar yang telah mendapat keputusan STAM hari ni, 17 Januari 2019.

     STAM? Apa STAM tu? Tak ramai yang kenal STAM, memandangkan sijil ni bukan suatu kewajipan dan hanya berkait dengan bahagian agama Islam sahaja. Tidak seperti STPM, yang lebih meluas... subjek agama, sains dan seni pun ada. Walaupun seakan sama, tapi sebenarnya ia berbeza.

     Kali ni, saya nak cerita serba sedikit tentang subjek STAM. Panjangnya, Sijil Tinggi Agama Malaysia. Kalau nak dibandingkan dengan STPM aliran agama, subjek STAM lebih mendalam. Malah, dengan sijil STAM, korang dengan mudah dapat melanjutkan pelajaran ke luar negara. Biasanya, paling laku sekiranya hendak ke Mesir kerana ia menggunakan sukatan pelajaran University al Azhar Mesir.

     Apa beza STAM dan STPM aliran agama?

1. Pembelajaran STAM lebih mendalam berbanding STPM.

2. STAM hanya menggunakan Bahasa Arab sahaja. Tiada penggunaan Bahasa Melayu ataupun Bahasa Inggeris. Kalau ingin melanjutkan pelajaran ke universiti dalam negara, MUET adalah wajib. Tapi, tidak sekiranya hendak ke Mesir.

3. STAM adalah subjek yang memerlukan kepada penghafalan yang tinggi.

4. STAM mempunyai lebih banyak subjek berbanding STPM.

5. Apabila salah satu subjek mendapat Rasib (gagal) maka, keseluruhannya akan dianggap gagal walaupun korang mendapat Mumtaz yang banyak.

6. STAM menggunakan pangkat manakala STPM menggunakan pointer.

7. STAM dan STPM mempunyai kerja kursus dan ujian syafawi (lisan).

     Seterusnya, apa pula subjek STAM? STAM mempunyai sepuluh kertas. Kebanyakan kertas mempunyai 2 subjek. Macam mana nak tahu ianya mempunyai 2 subjek, sila tengok kepada perkataan 'dan'.


1. Hifz Al-Quran dan Tajwid.
    ● 2 subjek
    ● Hifz Quran ada ujian syafawi.

2. Fiqh (+ Faraidh)
    ● Walaupun tidak mempunyai 'dan', kertas ini mengandungi 2 subjek.
 
3. Tauhid dan Mantiq

4. Tafsir dan Ulumuhu

5. Hadith dan Mustolah
    ● Hadith ada ujian Syafawi.

6. Nahu dan Sarf

7. Insya' dan Mutolaah
    ● Mutolaah ada ujian Syafawi.

8. Adab dan Nusus
    ● Dua subjek ini mempunyai kerja kursus.

9. 'Arudh dan Qafiyah
 
10. Balaghah
    ● Ada kerja kursus.

Maka, secara jumlahnya, 19 subjek. Hanya Balaghah sahaja yang tidak bercampur menjadi 2 subjek.

    Memang diakui subjek ini banyak. Tapi, still tidak mustahil untuk mendapatkan result yang gempak. Malah, ramai yang dapat result rendah semasa SPM masih mampu berjaya lebih berbanding pelajar lain yang mendapat result gempak semasa SPM.

Ni contoh sijil dia..

     STAM kalau kat Terengganu, mengambil masa selama setahun setengah. Tak macam kat negeri lain yang ambil masa setahun. Kalau kat SMAASZA ni, nak masuk sini perlu ada kerakyatan Terengganu. Sama ada korang rakyat Terengganu ataupun mak ayah korang. 

     Saya akui bukan mudah nak ambil STAM, memandangkan korang perlu perlukan ingatan yang kuat kat sini. Saya sendiri bukan orang yang suka menghafal. Tapi, itulah satu-satunya cara korang nak dapatkan yang terbaik. Jangan lupa jaga keberkatan dengan cikgu, ibu bapa dan rakan-rakan. Bila hati korang tenang, mudahlah sikit korang nak menghafal. Ada yang mendoakan korang, dan korang tak perlu fikir masalah2 yang tak penting.

     Okey, ini bahagian nak promote sekolah sendiri pula. SMAASZA, kalau korang belajar kat sana, korang akan merasai pelbagai pengalaman. Menjadi pelajar STAM, korang bersama dengan asatizah STAM yang sangat mengambil berat tentang korang. Bahkan, dah seperti ibu bapa saya sendiri. Ada sesetengah pelajar yang kurang semangat nak belajar, tapi bila melihat asatizah mereka yang semangat mengajar. Mereka jadi terharu dan mula rase nak bangkit. Ada sesetengah yang lain, mempunyai parents yang kurang supportive dalam aliran agama, takut mase depan tak terjamin, tapi dengan supportive daripada asatizah, mereka tidah mudah menjadi lemah. 
     
     Yang paling utama, jadikanlah Allah sebagai tempat korang bergantung. Walaupun asatizah korang ada, tapi, mereka tidak bersifat kekal dan akan meninggalkan kita bila-bila sahaja.  
    
     Okey, rasanya setakat itu sahaja. Dah tak tahu nak kongsi apa lagi. Jadi, kalau korang berminat nak tahu, silalah bertanya. In sha Allah, kalau ada kesempatan, saya akan cuba jawab. 





Saturday, 22 December 2018

Temuduga di SMAASZA

Assalamualaikum, kali ni nak kongsi sedikit pengalaman sebagai salah seorang helper.

Pagi-pagi sebelum Subuh dah bangun, semuanya sebab hari ni nak keluar dari rumah. Pergi ke sekolah bukan untuk belajar tapi hanya untuk menolong cikgu.

Selesai hantar adik ke Sabiqun, terus meluru ke sekolah. Tak sempat nak masuk lagi dah sesak jalan, penuh dengan kereta.
Ramai mak ayah yang hadir bersama anak-anak mereka yang terpilih.

Saya dan dua orang adik saya terus ke bilik mesyuarat al-mukhtar.

Pagi tu, sarapan dah tersedia. Terasa macam seorang je yang makan sebab yang lain macam tak berselera lagi agaknya. Entahlah, mungkin sebab awal pagi lagi, jadi tak terasa nak makan.

Sudah tu, terus saya gi kat cikgu dan tanya apa yang perlu dibuat memandangkan sekarang dah nak dekat jam 9 pagi. Waktu ujian bertulis bermula. Tapi, memandangkan masih ramai cikgu yang tersekat dalam kesesakan lalu lintas tadi. Saya menggantikan Ustaz Saifuldin dan Ustaz Fahmi untuk menjaga bilik 7. Blok D, tingkat 2, kelas kedua dari tangga depan.

Saya yang tukang bagi kertas, bagi arahan mula, tukang jawab soalan kalau ada yang bertanya.

Hmm.. gitulah pekerjaan saya masa tu.

Satu jam setangah berlalu...

Saya keluar dari kelas memandang ustaz Din dah masuk untuk ujian lisan pula.
Bertembung dengan Tc Azalina, bual skit dengan Tc tanpa menyedari ada sesuatu yang saya tertinggal.

Bila saya berada di tangga bilik mesyuarat, saya teringat.

Kertas ujian! Dah tu, buat apa saya balik sini kalau kertas ujian tak ada pada saya.
Asal saya datang sini untuk menanda kertas.

Saya pun pusing balik.
Dengan pusingan itulah, banyak benda yang terjadi.

Saya bertembung dengan Luqmanul. Baru sedar kewujudannya. Ingatkan dia dah tak datang. Tidak mencari pun, tapi tidak ternampak. Dia satu-satunya yang sebaya ngan saya. Sukarelawan yang lain kebanyakannya 6 Rendah.

Saya bertembung pula dengan jiran sebelah. Dia yang menyapa saya, saat itu, dia sedang menunggu. Hakimi adalah salah seorang daripada pelajar yang terpilih.
Saya mencari kelibatnya dan mengukirkan senyuman kepadanya. Lambaian tangan yang penuh semangat saya berikan. Teruja sebab lama tak nampak.

"Kakak" itulah panggilan yang jiran saya gunakan untuk saya. Saya tak tahulah dia tahu ke tidak sebenarnya nama saya. Tak kisah sangat pun, tapi yang lawaknya sampaikan satu family tu panggil saya kakak.

Kenapa? Semuanya bermula dengan adik-adik saya. Mereka teman sepermainan, dan saya sebagai kakak sulung pula saya biasanya teman mereka. Tengok-tengok mereka.

Okey, saya nak kongsi juga macam mana bentuk soalan dia. Ada tiga bahagian. Pertama, Bahasa Arab. Kedua, Usuluddin dan ketiga Syariah. 

Saya agak terkejut dengan soalannya. Semuanya perlu dijawab dalam bahasa arab. Bahkan soalannya sendiri dalam bahasa arab. 

Mujurlah soalannya tidak berbentuk subjektif. Kebanyakannya berbentuk objektif memandangkan jawapannya sudah berada di dalam kertas ujian. Soalan berkaitan dengan tajwid pun ada. Dalam 2 soalan sahaja. 

Keseluruhannya 80 markah. 20 markah lagi melalui ujian lisan. 

Sedikit tips, kalau tak faham soalannya, cubalah bertanya sikit kat cikgu yang bertugas. Kalau bernasib baik, mana tahu cikgu tu ustaz ustazah, jadi bolehlah nak translate serba skit walaupun tak bagi jawapan. 

At least, semuanya kena berjawab. Kalau tak jawab semua soalan, sayang sangat. Mana tahu, jawapan yang diteka tu betul. Hanya perlu tembak aje. Jawapan kebanyakannya sudah ada pada soalan. 

Bagi yang terpilih, korang sepatutnya menghargai peluang ini. Yang hadir ujian lebih kurang 500 orang. Dan yang terpilih tidak lebih daripada separuh. 

Sekadar itu sahaja. Moga dapat membantu kalian. Ini sekadar berdasarkan pengalaman saya tahun 2018. Jadi, untuk yang akan datang, saya tak tahu sama ada ia akan menukar format soalan ataupun tidak. 


Friday, 23 November 2018

Jamuan batch

Assalamualaikum..

Alhamdulillah, baru-baru ni kami, pelajar STAM 2018 berjaya jugak mengendalikan sebuah jamuan. Asatizah kami menyerahkan segalanya kepada kami untuk menguruskan sendiri. Bukan mudah sebab bukan asatizah yang mengajar kami sahaja yang diundang, bahkan seluruh guru-guru dan staf sekolah kami jemput. Awalnya risau juga sebab nak kena kendali banyak benda. Takut tak cukup duit tulah salah satunya dan Alhamdulillah dana mencukupi malah ada lebihannya.

Kad jemputan simple untuk guru-guru kami,, buatan sendiri. 

Jamuan ni diadakan pada hari Isnin, 12 November bersamaan 11 Rabiul Awal.
Cerita ni mungkin personal + umum skit.

Pagi selepas Subuh dan bacaan Ma'thurat, saya terlelap sebentar. Mengantuk sebab semalam tidur lewat gara-gara nak siapkan beberapa tempahan bookmark memandangkan esoknya saya akan balik rumah, dan berkemungkinan dah tak datang sehingga tibanya result STAM. Kemudian, Tiekah mengejutkan saya. Tengok-tengok saya berada di dalam sebuah bulatan. Cepat-cepat saya duduk di tepinya setelah mengambil buku Yasin. Ingatkan nak baca Yasin, rupanya surah Waqi'ah. 

Ni salah satu bookmark yang saya jual. 

Pagi-pagi tu, sebelum perhimpunan bermula, saya singgah ke kelas untuk meletakkan barang-barang. Nampaknya hari tak ada solat hajat dan bacaan Yasin kerana pelajar SPM ada peperiksaan penting. Kami, pelajar STAM tidak menyertai pelajar-pelajar lain berhimpun memandangkan kami disuruh untuk berkumpul di Surau Muttaqin.

Bila dah tiba, 2 ekor kambing dan 2 ekor biri-biri sudah diikat. 

Yang jelas kelihatan cuma seekor je. Tp, kalu perhati betul2, ada 3 ekor dlm gambar. 
Seekor bawah pokok dan seekor lagi diikat pada tiang gol.

Saya tak nak bercerita panjang. Rasanya cukuplah gambar yang menceritakannya. 

Ni masa awal2 muslimin nak ikat.

Satu-satunya gambar yang ada saya,, hahah,,
keje saya masa ni tukang ambik je,, bahagian dokumentasi,,
jd kalu bab2 sembelih, kerat2, masak2, basuh2 tu saya dok wat.
Kalu x, kekgi gambar2 tu x sempat nk ambik, sbb kena ambik bhgn wat kerja bukan saje posing2 gitu.

Sebelum mula apa-apa, kami membasuh perkakas yang ada.


Ayam yang nak kena sembelih

Pemantauan oleh ustaz2. Alhamdulillah,, semua ayam sah dari segi hukum.
Maka, tiada satu pun yang jadi bangkai. 
Ayam tidak boleh disembelih dengan memandai-mandai. Perlu ada pantauan, perlu ada ilmu.
Jadi, sape2 yang nak belajar, sila call Ustaz Saiful Amri dari sekolah SMAASZA ye.
Kalau nak belajar sembelih lembu, kambing dan biri-biri pun boleh.
Mengikut pengalaman ustaz setakat ni, ustaz pernah sembelih lembu seorang diri sahaja, dan hanya mengambil beberapa saat sahaja.

Ustazah Assalamiah dan Ustazah Azizah pun turut membantu kami.

The most brave muslimah. The one yang sembelih biri-biri.

Ni yang last kena sembelih. Sabar kami menunggunya puas makan.

Sampai sini sahajalah. Rasanya dah memadai walaupun banyak lagi gambar. Papepun, banyak pengalaman yang diperoleh kat sini. Jamuan batch ni mungkin yang last tahun ni. Tahun depan in shaa Allah, datang ke sekolah untuk mendapatkan result STAM pada 17 Januari ni. Dah tak lama. Cuma sebulan lebih aje. 

Di sini, SMAASZA, kami ditarbiah, dan banyak yang kami pelajari diaplikasi. Kerana di SMAASZA, pelbagai jenis manusia kami jumpa. Yang baik, yang nakal. Biah di sini tidak sama dengan tempat lain kalau kita benar-benar join setiap program. Kalau tak join, memang tak rasa mana perbezaan tersebut. Saya yakin itu kerana saya merasai perbezaan yang mendadak sebagai pelajar arus perdana dan pra-u.

Terima kasih sahabiah dan asatizah sekalian kerana mengajar kami erti Islam. 
Memberi kami cahaya untuk kami keluar daripada kegelapan.
Sentiasa memberikan kami nasihat saat kami mula alpa.
Bersabar dengan segala tingkah laku kami.

Terima kasih.







Wednesday, 14 November 2018

STAM berbeza.

Assalamualaikum...

Lama tak menyapa blog ni. Kalau jadi rumah, tak tahulah dah besar mana sesawang kat sini.
Papepun, gembira dapat menulis hari ni. Exam penting tahun ni dah berlalu, dan kini tinggal
seminggu je lagi, my school life as student will meet the end.

Tak sangka, akhirnya berjaya juga keluar dari sekolah ni. Hahah
Bunyi macam terseksa je,, hmm,, bolehlah dikatakan begitu.
Kat mana-mana sekali pun pasti ada ujian yang datang, kan?
Even kalau bukan kat sekolah, kat lain mungkin lagi parah.
Semuanya untuk menjadikan diri ni lebih kuat.

In shaa Allah, 17 Januari 2019, result STAM akan diumumkan.
Saya tiada kata-kata yang sesuai untuk menggambarkan perasaan ini.
Lebih mudah kalau hari tu tiba sendiri. Sekarang bukan masa yang sesuai
untuk cerita tentang hari yang penuh debaran tu.

STAM.

Walaupun saya berada di sekolah yang sama, berada di sekolah ini dari tingkatan 1
hinggalah tingkatan 6, terasa perbezaannya.
Suasananya, tingkahlakunya, hobinya, asatizahnya.
Saya sendiri tak sangka saya masuk STAM dan kini dah habis pun.
Perbezaannya mungkin ada kaitan juga dengan siapa saya berkawan.
Memandangkan saya sentiasa berkepit dengan orang yang sama dari Form 1 sampai SPM.

Tapi, bila Form 6, kawan-kawan saya dah berterabur.
Walaupun berpisah jauh, tapi, masih lagi berhubung.

Menjadi pelajar STAM, saya diberi jawatan.
Saya kemudian kena ambil tahu tentang keadaan semasa sekolah.
Penting untuk saya kenal setiap pelajar.
Menganalis sikap sorang-sorang untuk mengendalikan mereka.
Kemudian dilantik menjadi penolong kelas.
Sebelum ni tak pernah, sebab memang tak nak ambil peduli sangat.
Sebab tahu, walau sekecil mana atau sebesar mana jawatan itu,
ia masih lagi digelar sebagai amanah yang mana nanti akan ditanya.
Dan, biasanya kawan-kawan saya yang lain lebih layak.
Tapi sebab saya sorang je yang tahu camne sekolah ni berurusan, saya dilantik.

Menjadi pelajar STAM, saya mula berhati-hati dalam berkawan.
Saya tak nak rapat sangat, sebab tak tahu macam mana kehidupan akan datang.
Takut kalau terlalu rapat, dugaan berkawan bukan mudah.
Kepercayaan kita akan diuji, persahabatan belum tentu kukuh.

Kemudian, saya perhati sikap sorang-sorang,
saya tak rapat sangat dengan kakak2 STAM,
yang saya tahu mereka sangat menjaga diri dari fitnah.

Bila perhati, ramai antara mereka ni sangat suka mendengar ceramah.
Bukan ceramah sangat, lebih kepada kuliah agama.
Kebanyakan tokoh-tokoh agama mereka kenal.
Hadis-hadis mereka hafal,
malah ada di kalangan mereka membaca kitab-kitab arab yang tebal2,
suka kepada majlis ilmu,
suka mendengar nasihat,
sentiasa dahagakan ilmu,
sentiasa mahukan sesuatu yang bermanfaat,
tidak mahu menyiakan waktu kepada perkara yang tidak bermanfaat.

Rasa kerdil je bila dibandingkan dengan diri ini.

Jadi, saya mula belajar,
macam mana nak adapt dengan suasana sebegini.

Bila bersama mereka,
kawan-kawan daripada aliran STAM,
saya tak sangka saya boleh terbitkan rasa ingin,
ingin turut serta mencari ilmu agama walau di mana jua,
ingin membaca kitab-kitab arab yang tebal2,
ingin kepada itu dan ini,

Dan di sekolah ini,
kami sentiasa diperhati,
mengambil jurusan agama dan paling tua,
maka setiap tindak-tanduk kami sangat diambil berat,
memandangkan kami yang menjadi contoh kepada adik2.

Dan di sini juga,
asatizah kami sentiasa memberikan nasihat,
sentiasa menunjukkan kasih sayang mereka kepada kami,
sampaikan terasa kasih mereka lebih daripada ibu bapa kami,
sokongan mereka yang tidak berbelah bahagi,
membuatkan kami benar-benar terharu,
membuatkan kami tidak berani untuk membuatkan hati mereka terluka.

Terima kasih kawan-kawan,
Terima kasih  sahabat-sahabat,
Terima kasih asatizah,
Terima kasih adik-adik,
Terima kasih umi,
Terima kasih Allah.

Dan, bagi mereka yang di luar sana yang sentiasa mendoakan kami.
Terima kasih juga.

Gambar ni diambil pada sambutan Hari Raya. Pelajar perempuan STAM.
Secara keseluruhan, 40 pelajar perempuan bercampur dengan aliran Thanawi.


 Gambar ni diambil pada hari terakhir kami exam STAM. 
Tapi, tak nampak semua dalam ni, ada yang tersembunyi di belakang.
Segan menunjukkan diri.. -,-"

Gambar last ni pula diambil sempena Jamuan Kelas.
Ustaz kami berada di tengah-tengah. Lulusan Azhar.
Semasa saya Form 1, dia dah Thanawi 3 (umur 18 thn).
Tapi, kami tak kenal pun sama-sama. Saya pun bukan orang yang suka ambil tahu hal orang.
Walau hebat mana sekalipun orang tu, sori ustaz.

Dan inilah gambar yang akhirnya cukup orang.
Bukan mudah untuk cukup orang, malah gambar kelas untuk majalah sekolah pun.

In shaa Allah, kelas ini akan dirindui.
Mungkin sebab perbezaam dengan kelas saya yang dulu.
Sebab menghadap muka yang sama, sori kawan2.


Monday, 11 June 2018

Penghargaan buat Ustazah

Assalamualaikum...

Terima kasih kepada pengunjung blog saya kerana masih lagi sudi melawat.
Walaupun catatan saya tidaklah menarik mana.
Apa pun, ia masih tidak menghalang saya untuk terus menulis.
Seronok dapat bercerita.

Baru-baru ni, hari lahir ustazah saya, Ustazah Azizah.
Makanya kelas kami, 6 Uthman merancang untuk sambut birthday Ustazah.
Tapi, awalnya kami minta maaf sebab terlewat sehari.
'Minta maaf, Ustazah.. Walaupun Ustazah guru pertama yang masuk kelas kami hari tu.
Kami langsung tak mention sikit habuk pun tentang birthday Ustazah'
Patutnya hari Ahad, tapi kami sambutnya pada hari Isnin.
Ahad tu Muslimat pesan kat Muslimin minta tolong beli kek.
Diorang pun ok je, memandangkan ada sorang muslimin tu tak datang sekolah lagi.

So, Isnin tu, Zack bawakan kek.
Terkejut Muslimat bila tengok rupanya kek Secret Recipe.
Bukan mahal ke? Serius lah...
Ternganga saya tengok kotak kek.
First time saya boleh rasa kek Secret Recipe.
Tapi, tak apalah sekali-sekala. Bukan selalu. Tahun last dah pun.

Kitorang rancang nak buat prank. Tapi, entahlah.. jadi ke tak prank tu. Masa tu ada masa kosong. Cikgu tak masuk rasanya. Jadi kitorang pun minta ustazah ke  kelas untuk mengajar. Dan, ustazah setuju. Safwan sempat buat slide untuk Ustazah.


Kira okeylah daripada tak ada langsung. Tu pun, kelam kabut sebab ustazah tinggal beberapa langkah lagi nak masuk kelas.



Inilah kek Secret Recipe. Serius sedap.. ^_^

Ustazah tinggal beberapa langkah lagi.  Tapi, kitorang belum bersedia lagi. Jadi, kawan-kawan saya tak kiralah muslimin dan muslimat bertalu-talu tanya soalan kat Ustazah kat luar kelas. Saya hanya menahan ketawa je masa tu. Tak tahan tengok mereka. Yang muslimin siap sedia letak kek kat depan.

Ustazah masuk. Slide sudahpun terpapar. Kami sama-sama menyanyikan lagu Allah Selamatkan Kamu buat Ustazah. Selesai tu, kami ambil beberapa gambar sebelum menyerahkan kek buat Ustazah. Walaupun Ustazah sibuk, Ustazah masih lagi cuba datang ke kelas kami.





Apapun, Alhamdulillah sebab berjaya menyambut Hari Lahir Ustazah. Sekurang-kurangnya kami dapat menyampaikan penghargaan kami atas keprihatinan Ustazah terhadap kami. 

TERIMA KASIH USTAZAH AZIZAH !

"Alang-alang masuk stam smaasza, biar akhir nanti pegang mumtaz sofi" itulah kata-kata Ustazah Azizah sejak kami mula memasuki 6 Rendah. In sha Allah. 

Demam

Assalamualaikum...

Alhamdulillah 'ala kulli hal.
Alhamdulillah sebab masih lagi dikurniakan kesihatan.

Minggu lepas saya demam. Hampir seminggu gak ah.
Start hari Isnin tu.
Saya rasa macam teruk lah jugak sebab demam bukan atas sebab cuaca.
Tapi, sebab stress. Saya tak nak cerita stress sebab apa.
Takut nanti dikira buka aib orang tersebut.
Kalau korang jumpa dia, dia sememangnya dikenali dengan sifat baiknya.
Tapi, begitulah manusia.
Masing-masing ada kekurangan.
Dan kekurangan dia itulah buat saya stress.
Tak apalah, yang tu saya akan cuba berlapang dada.
Tak apa.. sikap boleh berubah. Saya malas nak fikir pasal sikap dia.

Walaupun tak suka mana kat dia, still saya kena layan dia macam biasa.
Saya tak suka bermusuh dengan orang.
Mana tahu, bila saya layan dia macam biasa...
Saya akan nampak kebaikan dia dan lembut hati sikit...
Dan perlahan-lahan boleh hilangkan perasaan sakit hati tu...

Saya bukan nak cerita sangat pasal stres saya tu.
Cuma nak cerita sikit masa saya demam tu.
Terima kasih kat Yasmin sebab sudi teman saya, jaga saya kejap.
Pagi Isnin tu saya rasa panas kepala sampai terkeluar air mata sume.
Jadi, Yasmin teman saya pergi bilik ERT merangkap bilik rawatan.
Supaya saya dapat berehat kat sana.
Tapi, since ada budak kalam jamaie kat sana.
Saya rasa bukan bertambah sihat, malah bertambah sakit.
Dengan kebisingan dalam bilik tu, saya tak rasa saya dapat rehat dengan tenang.
Jadi, saya balik ke asrama dan rehat kat sana. Dari pagi sampai petang.
Makanya, saya kira tak gi ke sekolah hari tu.
Semalam pun saya tak ke kelas, sebab sakit kepala.

Kemudian, malam Isnin sebelum saya balik rumah, Zubed beritahu saya sebelum dia ke kelas Tamayyuz,

"Kak Huda, semalam ada dua orang budak form 1 jaga kak Huda,"
Saya terdiam seketika. Ada budak jaga saya. Woah, baiknya.

"Sape?" tanya saya.

"Qilah ngan sorang agi, dop tahu name nape."
Ouh.. diorang rupanya. Saya tersenyum.

Walaupun saya tinggalkan diorang, diorang masih lagi menyapa saya.
Rasa terharu dengan kebaikan mereka.
Bukannya tinggalkan macam tak kawan langsung.
Cuma asalnya saya sedorm dengan mereka.
Tapi, kemudiannya saya berpindah ke dorm lain atas sebab-sebab tertentu.

Bukan sekali dua saya disuruh pindah dorm. Hampir dua bulan jugalah saya ambil masa nak fikirkan cadangan tersebut. Akhirnya saya buat keputusan pindah dorm sebab, saya duduk kat dorm tu sampai lewat malam. Bukannya sebab study.. cuma buat kerja berkait ngan asrama sikit.

Entah kenapa, sejak jadi form 6 rendah lagi.. antibodi rasa lemah. Selalu demam, tak datang sekolah, sakit kepala. Saya mengharapkan kesihatan saya bertambah baik bila nak dekat dengan periksa besar. Takut-takut nanti tak boleh nak fokus. Bila jawab periksa, jadi malas nak check sebab nak keluar rehat.. nak jauhkan diri daripada mengganggu orang lain dengan bersin saya dan keadaan saya. Kawan-kawan saya kadang tu terlalu prihatin sampai tak fokus belajar. Baik saya keluar rehat ataupun terus je balik rumah. Tapi, kalau time exam, saya tak suka balik rumah sebab nak kena tangguh jawab exam. Kalau boleh saya nak habis cepat. Saya tak suka mana jawab exam. Saya balik bila teruk sangat je. Kalau tak mana, saya duduk je kat asrama. Tak naklah menyusahkan mak saya ambil saya. Banyak benda lagi yang mak saya nak kena fikir selain saya.

Sampai sini ajelah kisah demam saya...

Monday, 19 March 2018

Tanpa mereka, saya masih di sini.

Assalamualaikum pembaca sekalian,

Alhamdulillah. Bukan senang nak cari masa tulis dalam blog ni. Tambah lagi saya duk kat asrama... Makanya, sempat tulis masa cuti jelah. Sekarang ni tengah cuti seminggu. Saya balik petang semalam, hari Jumaat sebab ada kem. Nak buat macam mana, itulah life budak exam... Terima dengan hati terbuka. Yang kesiannya buat pelajar yang duduk kat daerah yang jauh tu. Kemaman, Besut, Dungun. Alhamdulillah... rumah saya kat daerah ni je. Tak adalah susah-susah nak cari bas. Dan Alhamdulillah jugak untuk pelajar yang duduk jauh tu sebab ada bas nak hantar diorang. 

Belajar kat sekolah yang sama walaupun hanya masuk sebagai pelajar Pra-U STAM, mengajar saya tengok manusia dengan pandangan yang berbaza. Selama ni, saya tak kisah hidup orang.

Kenapa kau jadi macam tu? Kenapa kau buat begitu begini? Saya biarkan persoalan tanpa peduli sebabnya sebab memang masa tu tak peduli sangat hidup orang. Tapi, lainlah dengan sahabat-sahabat saya. Kami rapat sejak form 1 sehinggalah form 5. Banyak juga mehnah yang terpaksa kami tempuhi untuk terus mengekalkan persahabatan ini. Moga bersahabat hingga ke syurga.

SPM the end.

Bermulalah kehidupan saya sebagai pelajar tingkatan 6 di sana. Saya bertemu dengan kawan-kawan baru yang pelbagai ragam, dari sekolah yang berbeza, yang mempunyai pandangan yang berbeza tapi hanya satu yang menyamakan kami. Kami pelajar STAM. Walaupun dengan tujuan yang berbeza. 

Ada yang masuk 
kerana memang minat Bahasa Arab,
kerana nak masuk smaasza,
kerana nak nak jadi pelajar cemerlang,
kerana mengikut jejak mak, ayah atau idola,
kerana menunaikan hajat mak ayah,
kerana yuran lebih murah berbanding universiti,
kerana dapat biasiswa,
kerana dekat dengan rumah,
kalau saya sebut semuanya... entah banyak mana.

Tapi, semuanya mahu kejayaan cemerlang.
Mahu bangkit daripada SPM.

Saya juga punya sebab tersendiri. Kadang sebab ni berbolak-balik. Kerana hati ni mudah berubah.

Apa pun saya cuba cari hikmahnya tersendiri. Setiap orang berlainan.
Mungkin ada yang sama tapi dengan jalan cerita yang berbeza.

Saya nak tunaikan hajat umi. Harapan umi tinggi untuk saya cemerlang dalam STAM.
Saya akui bukan mudah sebab saya taklah minat sangat Bahasa Arab.
Dan, sebolehnya, saya teringin sangat nak keluar dari  sini.
Ingin merasai suasana baru.

Tapi, apabila sudah berada di sini.
Rasa minat itu datang. Seronok belajar subjek-subjek STAM.
Untuk pengetahuan korang, subjek STAM ni banyak.
Balaghah, Adab Nusus, Arudh Qafiah, Nahu dan Sorof, Tauhid, Mantiq, Ulumul Quran,
Tafsir, Hadith dan Mustholah Hadis, Feqah, Faraid
Muet pun ada. Tapi, saya tulis semua ni bukan nak cerita pasal STAM.

Cuma cerita apabila kawan-kawan saya tak ada kat sini.
Perubahan berlaku. Bukan sekolah sahaja tapi saya juga.
Bukan nak perasan, tapi yang pasti berbezalah sikit daripada saya yang dulu.
Okey, tak jadilah nak cerita benda ni. Perubahan patut dilihat dengan mata sendiri.
Kalau saya cerita pun, belum tentu percaya. Malah, adik saya sendiri tak percaya.

Bila kawan-kawan saya tak ada kat sini, saya mula bergaul dengan orang lain.
Mula rapatkan diri dengan orang lain. Paling rapat dengan Yasmin, sebab sorang tu je macam selalu bersama dengan saya. Walaupun saya banyak kali buat perangai dengan dia. Kadang saya marah kat dia, kadang saya luah perasaan kat dia. Dia setia mendengar. Dia juga sentiasa mengadu kat saya tentang itu ini. Seronok, sebab tak perlu nak tahan diri.  Kalau ada benda saya nak luah, saya luah aje kat dia. Marah sedih, sakit hati. Saya lepaskan. Tapi, tidaklah saya mensyirikkan Allah. Sampai menduakan Dia. Astaghfirullah. Tak sampai macam tu. Jangan fikir yang bukan-bukan pula. Hidup ni perlukan kawan. Memang kawan  bukanlah kewajipan tapi, tanpa kan hidup jadi membosankan.

Saya juga mula mengenali kawan-kawan sekelas saya. Memandangkan kami ni hidup dalam asrama. Maka, mudahlah untuk kami lebih kenal. Kami bersama sejak pertengahan tahun tahun lepas. Pelajar kelas saya seramai 22 orang termasuk saya. 12 lelaki dan 10 perempuan. Terkejut juga bila tengok bilangan lelaki lebih ramai daripada perempuan. Yang lelaki, Dzul, Luqman, Amir, Manul, Aqil, Fadhli, Athir, Zaki, Irfan, Sayed, Anas dan Safwan. Mereka punya sikap yang berbeza. Seronobila bersama dengan mereka di dalam kelas. Menceriakan suasana. Kadang, bila asatizah nak marah, tak jadi marah sebab layang gelagat mereka yang spontan. Ada yang jenis senyap, suka tidur, suka mnegusik, suka bertanya, bijak, suka menolong, sentiasa menasihat. Yang perempuan pula Najah, May, Zainab, Aida, Yasmin, Alia, Shahila, Uzma dan Syafiqah. Mereka juga mempunyai personaliti berbeza. Sentiasa bertanya dan kadang soalan tu tak pernah datang pun dari minda saya, yang bertanggungjawab, yang manis, yang spontan je tanpa peduli apa kata orang, yang sentiasa mengingatkan, yang prihatin, yang suka memberi, yang sentiasa meminta maaf, yang pandai.

Hm.. sekadar itu sahaja. Saya tak tahu hendak cerita apa lagi. Kalau ada pun, lain kalilah. Rasanya, sudah banyak saya menulis kali ni.

Gambar kelas tahun lepas, tapi, ada seorang tak ada kat sini, Amir. Dan ada sorang yang terlebih. Sebab dah pindah tahun ni. Kiranya tahun lepas ada, tahun ni dah pindah. Saya tak ingat dia pindah ke mana.